Thursday 30 April 2015

Tazkirah

KEPENTINGAN MENJAGA AKIDAH

Islam dibina di atas tiga asas yang utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Antara ketiga komponen ini, akidah adalah asas yang paling utama dan tunjang kepada Islam. Tanpa akidah, Islam akan terkubur dan segala amal soleh tidak akan dinilai di akhirat nanti.

Kepentingan menjaga akidah Islam tercerna nampak dalam ayat-ayat Quran dan hadis Nabi s.a.w. Antaranya firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik terhadap-Nya, dan Allah akan mengampunkan dosa selain itu bagi sesiapa yang Ia kehendaki.” (Surah al-Nisa’: 48) menumpukan kepada persoalan akidah.

Dalam satu riwayat hadis, Nabi s.a.w. menghantar Muaz ibn Jabal ke Yaman. Nabi s.a.w. berpesan agar Muaz mengajak ahli  aman untuk mentauhidkan Allah terlebih dahulu. Apabila akidah sudah bertapak kukuh, maka barulah dikhabarkan dengan kewajipan solat. Itu pesan Nabi s.a.w. Ini bermakna penumpuan kepada akidah amat ditekankan oleh Nabi s.a.w. (Rujuk Sahih Muslim, kitabIman, No. hadis 29-31).

Akidah tauhid juga adalah hak Allah. Dalam riwayat hadis, Nabi s.a.w. menerangkan bahawa hak Allah ke atas hamba-hamba ialah Ia disembah dan tidak disekutukan dengan apa jua. (Rujuk Sahih Muslim, kitab Iman, No. hadis 50).

Terdapat banyak tegahan dalam Islam yang mana ia dikira sebagai dosa, namun dosa yang tidak akan terampun ialah dosa syirik. Syirik ini bukan bermakna sesiapa yang kufur hari ini kemudian menganut Islam namun dosanya tidak terampun. Kaedah asas dalam Islam ialah Islam menghapuskan apa-apa dosa sebelumnya. Namun syirik di sini bermaksud mati dalam keadaan syirik. Ia adalah kesudahan yang buruk atau suu al-khatimah


BERIRINGIAN PAHALA KE MASJID

 
Gambar Hiasan

Menunggu Solat
SOALAN: Ayah saya suka pergi awal ke masjid. Saya sangat kagum dengan sifatnya ini. Adakah seseorang itu mendapat pahala apabila duduk di dalam masjid sementara menunggu waktu solat?
Jawapan: Ya, seseorang yang duduk menunggu masuknya waktu solat akan mendapat pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Seseorang hamba itu sentiasa dalam keadaan solat selagi dia masih berada di tempat solatnya dan menunggu untuk solat. Para malaikat akan berdoa untuknya: ‘Ya Allah, ampunkanlah dia, rahmatilah dia dan terimalah taubatnya’ selagi dia masih dalam keadaan berwuduk dan tidak berhadas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Ayah saudara telah menunjukkan contoh yang terpuji. Semoga Allah sentiasa merahmatinya. Semoga anakanaknya akan mengikut jejak langkahnya.
Terkejar-kejar
SOALAN: Salahkah orang terkejar-kejar pergi ke masjid apabila terdengar azan lebih-lebih lagi apabila sudah iqamat dengan niat ingin takbir bersama imam?
Jawapan: Tidak boleh bahkan perbuatan ini menyalahi sunnah Nabi kita yang mulia. Sabda Rasulullah maksudnya: “Apabila kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah menuju solat dalam keadaan tenang dan janganlah tergesa-gesa. Mana-mana perbuatan imam dalam solatnya yang kamu sempat, maka ikutlah. Mana-mana yang tidak sempat, kamu sempurnakanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
HURAIAN: Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj menyatakan bahawa dalam hadis ini terdapat gesaan Rasulullah agar seseorang yang mahu pergi mendirikan solat berjemaah sewajarnya mendatanginya dengan tenang. Baginda melarang sifat tergesa-gesa dan terkejar-kejar untuk pergi mendirikan solat berjemaah sama ada dalam solat Jumaat atau solat-solat fardu yang lain. Begitu juga sama ada takut terlepas takbiratulihram bersama imam atau tidak. Jika terkejar-kejar untuk ke solat berjemaah dalam keadaan sudah iqamat pun dilarang, maka apatah lagi jika sebelum iqamat.

Ulang Kaji Adab-adab
Solat berjemaah di masjid adalah antara sunnah Nabi dan syiar Islam yang paling menonjol. Sudah tentu amalan ini ada adab-adabnya. Andai dijaga dan dilaksana, pasti lebih sempurna dan makin lebat pahala. Mari kita ulang kaji adab-adab pergi ke masjid.
1. Berwuduk sebelum pergi ke masjid.
Sabda Rasulullah maksudnya: “Seseorang lelaki yang bersuci dan berwuduk dengan sempurna kemudian ke masjid, nescaya Allah akan mengurniakan untuk setiap langkahnya itu satu kebaikan, terangkat satu darjat dan terhapus satu kesalahannya.” (Riwayat Muslim)
2. Menjauhi daripada bau-bauan yang tidak elok dan tidak disukai oleh para jemaah.
Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang makan bawang merah atau bawang putih, janganlah dia mendekati masjid kami! Sesungguhnya para malaikat juga berasa tidak selesa dan tidak suka kepada perkara-perkara yang tidak disukai oleh anak Adam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Memakai pakaian yang elok, bersih dan cantik.
Firman Allah mafhumnya: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap kali kamu memasuki masjid.” (Surah al-A‘raf: 31)
4. Masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan.
Ibn Umar memulakan kaki kanannya ketika masuk ke dalam masjid. Apabila dia keluar daripada masjid, dia akan memulakannya dengan kaki kirinya. (Riwayat al-Bukhari)
5. Membaca doa masuk masjid: 
 
6. Solat sunat Tahiyyat al-Masjid sebelum duduk.
Sabda Rasulullah maksudnya: “Apabila salah seorang antara kamu memasuki masjid, janganlah dia duduk sehinggalah dia mendirikan solat sunat dua rakaat dahulu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
7. Memilih tempat untuk bersolat di saf sebelah kanan imam.
Hal ini jika dia mampu berbuat demikian dengan tanpa berebut-rebut, bersesak-sesak dan menyakiti jemaah lain yang datang lebih awal. Sabda Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya Allah memuji dan para malaikat mendoakan kebaikan kepada mereka yang berada di saf sebelah kanan.” (Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah)
8. Keluar dari masjid dengan kaki kiri.
Anas bin Malik: “Adalah dikira daripada sunnah Rasulullah apabila kamu melangkah masuk ke masjid dengan kaki kananmu dan melangkah keluar dengan kaki kirimu. (Riwayat Muslim)
9. Membaca doa keluar masjid:
 

 

BUKAN HANYA SEKADAR MALU


ANTARA KATA-KATA – ‘MALU BERTANYA SESAT JALAN’ DAN ‘JUST DO IT’ – YANG MANA SATU PILIHAN HATI DAN YANG MANA SATU MENJADI PRINSIP KITA?
Kalau ditanyakan kepada saya, dua-dua kena ambil kira. Pembaca pula bagaimana? Mungkin di akhir artikel saya nanti, kita akan tahu apa nak pilih dan macam mana nak pilih. Jom kita baca! Dua pepatah – Melayu dan inggeris – di atas antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat, bukan? Walaupun ada kebaikan kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu di perhalusi.

Mengupas tentang malu, ia adalah sebahagian daripada iman. sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap Muslim. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri merupakan insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. lebih malu sifatnya daripada seorang gadis yang di dalam pingitannya. Pentingnya ada sifat malu itu dapat mencegah seseorang daripada membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu melakukan perkara yang tidak senonoh. Dia akan malu memperlihatkan perilaku buruknya. ini kerana malu itu telah menjadi perisai dirinya. sesungguhnya malu itu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.

Zaman ini memperlihatkan banyak kepincangan perilaku hasil daripada hilangnya rasa malu dari dalam diri. Pelajar mula tidak hormat kepada guru. Anak yang menengking ibu bapa. Pengguna jalan raya yang tidak beradab dan melanggar peraturan. Pemerintah dan pemimpin yang zalim. Maksiat yang semakin banyak. Dan pelbagai lagi perkara buruk sudah terjadi apabila pudarnya malu.

Malu adalah satu akhlak yang lahir sebagai manifestasi iman yang ada di jiwa. Jangan kita terpengaruh dengan orang barat yang memegang konsep ‘just do it’ atau istilah lainnya konsep ‘jangan malu’. Habis segala perkara di langgarnya. Kita juga jangan terlepas pandang dengan konsep malu bertanya sesat jalan yang membawa maksud jangan kita malu bertanya.

Walaupun umat islam dituntut memiliki sifat malu, namun dalam bab mencari ilmu, berlumba-lumba membuat kebaikan dan menyatakan yang benar, kita seharusnya tidak dihalangi oleh rasa malu itu. Letaklah malu itu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan perkara, namun jangan dibuang kesemuanya rasa malu itu walaupun dalam perkara kebaikan, kerana malu itu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas.


CUKUP ALLAH MENJADI SAKSI 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyebutkan, seorang lelaki dari Bani Israel telah meminta bantuan kawannya agar memberinya hutang sebanyak 1,000 Dinar. Lalu kawannya berkata, “Bawalah beberapa orang saksi agar mereka menyaksikan hutangmu ini.” Ia menjawab, “Cukuplah Allah sebagai saksi bagiku!” Orang itu berkata, “Datangkanlah seseorang yang menjamin pinjamanmu.” Peminjam itu hanya menjawab: “Memadailah Allah s.w.t. menjaminku.” Akhirnya kawan itu pun berkata, “Engkau benar!”


Maka wang itu diberikan kepadanya dengan janji dibayar balik dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Setelah lama orang yang berhutang itupun berlayar untuk suatu keperluannya. Lalu apabila berlalu tempoh masa yang dijanjikan, dia mencari kapal yang dapat menghantarnya ke tempat asalnya untuk menjelaskan hutangnya itu, tetapi gagal.

Maka diapun kemudian mengambil sebatang kayu lantas menebuk lubang padanya, dan dimasukkannya wang 1,000 Dinar di dalamnya berserta surat kepada kawan yang memberi pinjaman itu. Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut dan memperbaiki keadaannya. Selanjutnya ia pergi ke laut seraya berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa aku meminjam wang daripada sahabatku sebanyak 1,000 Dinar. Dia meminta kepadaku seorang penjamin maka aku katakan waktu itu, ‘Cukuplah Allah sebagai penjamin.’ Dan ia memintaku seorang saksi, maka aku katakan juga, ‘Cukuplah Allah sebagai saksi.’



Kemudian ia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku itu. Aku telah berusaha keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang yang telah aku pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal menghantarku pulang...Kerana itu aku kirimkan wang itu kepada-Mu.”


Lalu ia melemparnya ke laut dan pulang.

Sahabat yang memberi hutang itu keluar menunggu kedatangan kapal yang disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah untuk melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di tepi laut dia menemui sebatang kayu. Dia lalu mengambil kayu itu untuk keperluan isterinya. Namun ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati wang yang dipinjamkan itu berserta sepucuk surat.

Selang beberapa waktu datanglah orang yang berhutang dengan membawa wang 1,000 Dinar kepada sahabatnya. Beliau berkata, “Demi Allah, baru hari ini aku dapat menaiki kapal membawaku pulang setelah sekian lama ternanti-nanti rombongan untuk kutumpangi.”


Orang yang memberinya hutang itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan wang itu melalui sesuatu?” Ia menjawab, “Memang aku telah memberitahu kepadamu bahawa aku tidak dapat pulang sebelum ini.”



Orang yang memberinya hutang itu berkata, “Sesungguhnya Allah telah menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku melalui kayu. Bawalah wang 1,000 dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan keberkatan.”


http://www.addeen.my/images/pelik.jpg

PATUNG PERHIASAN DALAM RUMAH

http://www.addeen.my/media/k2/items/cache/95afb94bcb9e5971a68576edb0850e71_L.jpg

Unsur Syirik
Apa hukum meletakkan patung perhiasan dalam rumah? Di rumah saudara saya terdapat banyak perhiasan dalaman berbentuk patung yang dibelinya dari luar Negara yang dilawati sebagai kenangan.

Jawapan :
Antara adab menghias rumah ialah tidak dibenarkan wujudnya unsur-unsur syirik seperti patung. Bahkan Rasulullah pernah melarang hal ini dalam pesanannya kepada Aisyah dengan maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada patung.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Patung Nabi Sulaiman
Namun menurut saudara saya itu, al-Quran sendiri membenarkannya sebagaimana patung-patung yang dibuat untuk Nabi Sulaiman.

Jawapan :

Berkaitan dengan patung yang terdapat dalam pemerintahan Nabi Sulaiman, ada baiknya jika kita bincangkan ayat berkenaan supaya terhindar silap faham.

Firman Allah mafhumnya: “Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki berupa bangunan-bangunan yang tinggi, tamathil (patung atau gambar) dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): ‘Beramallah kamu wahai keluarga Dawud untuk bersyukur!’ Dan sememangnya sedikit sekali antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’: 13)


Tafsiran Ulama

Ada dua tafsiran berkenaan ayat ini dalam kalangan ulama:
1.Memang benar patung ataupun gambar dibenarkan dalam syariat Nabi Sulaiman. Namun amalan ini diharamkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w.
2.Patung ataupun gambar yang dimaksudkan hanya merujuk kepada sesuatu yang tidak memiliki roh seperti pokok, laut dan pemandangan bukannya haiwan ataupun manusia.

Tafsiran Pilihan

Dengan pentafsiran kedua ini, maka syariat Nabi Sulaiman menyamai syariat Nabi Muhammad. Bahkan hal ini selari dengan realiti dakwah para nabi sejak zaman berzaman iaitu menghalang manusia daripada menyembah patung berhala.
Perhatikan ucapan Nabi Ibrahim yang dirakamkan dalam al-Quran: “Ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: ‘Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?’”(Surah al-Anbiya’: 52)

Terdapat banyak hadis yang menekankan pengharaman gambar dan patung. Rasulullah bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari kiamat ialah orang yang membuat ukiran atau memahat patung ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Baginda lagi dalam kesempatan lain yang bermaksud: “Sesungguhnya para pelukis ini akan dikenakan azab pada akhirat. Lalu akan dikatakan kepada mereka: ‘Berikanlah nyawa pada apa yang kamu jadikan ini!’” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Apabila ditanyakan kepada Ibn Abbas tentang gambar yang dilukis, beliau mengatakan bahawa di akhirat nanti Allah akan menyuruh sesiapa yang melukis gambar yang memiliki roh agar meniupkan nyawa kepada gambar itu, sedangkan dia tidak akan dapat melakukannya.

Lanjutan itu Ibn Abbas berkata: lukislah gambar pokok atau apa jua yang tidak mempunyai roh.”

Berpandukan penjelasan oleh Ibn Abbas ini, harus hukumnya perhiasan berbentuk lukisan ayat-ayat suci al-Quran, gambar pemandangan seperti laut, perkampungan, pohon di hutan, sungai dan benda yang tidak bernyawa.


Anak Patung
Bagaimana pula dengan hadis yang menyebut bahawa Aisyah, isteri Nabi pernah bermain dengan anak patung di dalam rumah tetapi Nabi tidak melarangnya?
Jawapan :
Ya, hadis itu sahih riwayat Muslim.
Apabila kita mengkaji lanjut tentang larangan membuat patung dan melukis gambar makhluk yang mempunyai roh, jelaslah kepada kita bahawa faktor larangannya kerana perkara ini dibimbangkan menjurus pada kesyirikan dan pemujaan serta usaha menandingi ciptaan Allah.
Unsur ini tidak ada dalam patung permainan kanak-kanak. Menurut Muhammad Ali al-Sabuni dalam Rawa‘i al-Bayan, patung-patung permainan anak-anak perempuan dibolehkan dalam Islam kerana permainan seperti ini boleh mengajar mereka cara mendidik anak-anak mereka kelak. Bahkan dalam hadis lain, Nabi membenarkan gambar atau lukisan pada bantal, selimut,tempat duduk atau pada tempat-tempat yang tidak dimuliakan.

Gambar Keluarga
Bagaimana pula hukum meletakkan gambar keluarga di dinding rumah?
Jawapan :
Hukum meletakkan gambar keluarga adalah harus dengan syarat:
a.Tiada pendedahan aurat.
Gambar akan menjadi tatapan umum para tetamu yang bukan mahram.
b.Tiada unsur syirik. Contoh: Gambar ahli keluarga yang masih kafir dengan perhiasan salib pada mereka. Jangan salah faham, gambar mereka itu sendiri tidak salah.



Beza Lukisan dan Gambar Foto
Kenapa boleh berbeza hukum? Lukisan manusia haram tetapi gambar foto manusia pula dibolehkan.

Jawapan :

Gambar yang diambil secara fotografi adalah harus kerana gambar itu dihasilkan dengan tujuan sebagai kenangan. Walhal lukisan pula bertujuan untuk menyamai atau menandingi ciptaan Allah.
Kata Syeikh Muhammad Ali Sais dalam Tafsir Ayat al Ahkam: “Pengharaman lukisan adalah kerana disebabkan seseorang pelukis itu berusaha mencipta suatu gambaran yang menandingi ciptaan Allah.

“Hal ini berbeza daripada gambar fotografi yang terhasil daripada tindak balas cahaya yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Walhal lukisan hanya mampu dilakukan oleh seseorang yang berkemahiran sahaja”.


Wallahu a‘lam.

0 comments:

Post a Comment